Pages

Sunday 11 December 2011

Harapan bumiputera tinggi terhadap Teraju

MTAB pula yang diumumkan dalam RMK-10 ditubuhkan untuk menentukan dasar, hala tuju strategik dan mengkaji kemajuan serta penyampaian pelbagai program dan inisiatif berkaitan dengan agenda pembangunan bumiputera.
Teraju dikehendaki menunjukkan hasil dalam jangka masa yang singkat, melakukan reformasi institusi untuk meningkatkan keberkesanan dan mengekalkan hubungan dengan badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain pihak berkepentingan.
Apakah pendekatan Teraju berlainan daripada pendekatan yang sebelum ini diamalkan oleh agensi-agensi yang diberi tanggungjawab membangun bumiputera dan usahawan bumiputera? Apa juga pendekatan yang bakal diambil oleh Teraju, tentu sekali berbeza dengan pendekatan agensi-agensi yang sebelumnya. Ia diberikan kuasa yang meliputi bidang yang luas daripada keusahawanan, pendidikan, pekerjaan dan yang penting sekali pembiayaan.
Mengambil contoh salah satu perkara yang kerap diberikan sebagai alasan kelemahan usahawan bumiputera ialah pembiayaan. Seseorang usahawan tulen yang mempunyai kelayakan dan pengalaman boleh tersekat hasratnya untuk merebut sesuatu peluang perniagaan disebabkan keengganan institusi kewangan dan perbankan memberikan pembiayaan. Malah kalau persetujuan diberikan, pelepasan wang yang diperlukan pula tersekat-sekat tanpa sebab yang munasabah. Kebanyakan institusi kewangan masih lagi bersikap konservatif, ertinya persoalan pertama yang dimajukan kepada sesiapa yang membawa cadangan perniagaan ialah jenis cagaran yang hendak diberikan. Dalam usaha kerajaan menggalakkan projek berasaskan pengetahuan, seseorang usahawan tulen itu mungkin mempunyai pengetahuan dan pengalaman tetapi tidak mempunyai harta untuk dicagarkan. Mereka yang berpotensi untuk meneroka bidang ini begitu ramai termasuklah penemuan-penemuan pihak universiti yang jarang sekali disambut dan disokong oleh syarikat swasta.
Tidak dinafikan asas penting sebelum pembiayaan kepada sesuatu usaha diberikan kepada seseorang usahawan itu perlu disiasat dan disahkan supaya mereka yang tidak dapat membuktikan tuntutan-tuntutan mereka boleh diketepikan.
Kita percaya pengalaman luas Husni Salleh semasa menerajui MAVCAP, sebuah syarikat modal teroka berurusan dengan pelbagai ragam usahawan yang berjumpa dengan beliau dari sudut yang tulen dengan yang tidak tentu sekali akan membantu beliau dalam tugas baru ini. Cuma kali ini ragam kepelbagaian usahawan yang bakal bertemu beliau itu akan bertambah berlipat kali ganda. Rasanya sebelum sesiapa bertemu beliau, mereka patut diberikan satu senarai soalan yang menunjukkan ketulenan mereka atau tidak.
Harapan begitu tinggi menjulang segala apa juga kelemahan pada dasar-dasar yang digubal untuk kemajuan bumiputera yang lepas. Teraju tidak mengalami masalah ketirisan dan kebocoran dan menguntungkan golongan tertentu sahaja.
Kita difahamkan bahawa kali ini maklum balas akan diperoleh daripada golongan bawah sehingga ke atas dengan pendekatan dulu yang mana maklum balas turun dari atas ke bawah. Dengan itu, beberapa roadshows bertemu rakyat telah dirancang dan di sinilah rakyat patut mengambil peluang untuk menyatakan apa yang terbuku di kalbu mereka.
Kedudukan Teraju di bawah Jabatan Perdana Menteri dan selaku sekretariat kepada MTAB, kita percaya akan dapat menggembeling segala sumber dan sokongan daripada pelbagai badan dan agensi yang ada kaitan dengan pembangunan bumiputera termasuklah kelapan-lapan kementerian yang mengendalikan pelbagai bahagian selepas Kementerian Pembangunan Usahawan dibubarkan.
Apa juga pun pelaksanaan dan apa juga perancangan yang bakal digubal oleh Teraju termasuk makmal bumiputera yang tertinggal dalam Program Transformasi Ekonomi dulu dapat direalisasikan.
Masa untuk mengorak langkah maju kehadapan dan merebut peluang-peluang ekonomi yang ada di negara kita ini selari dengan golongan lain telah tiba supaya jangan angka pencapaian bumiputera berada di takuk lama sahaja.

No comments:

Post a Comment